Sebelum saya mahu perbaiki atau 'brainwash' terhadap golongan yang berpemikiran feminisme, marilah sama-sama kita beri makan kepada intelek kita dengan membaca perkongsian menarik daripada hamba Allah di bawah, petikan daripada page Facebook: Kisah Rumah Tangga. Bismillah ~
#TabungKahwin
Assalamualaikum Admin. Saya tak ada masalah rumah tangga. Sekadar nak berkongsi cara saya dan suami bahagikan duit gaji masing-masing mana la tau boleh dijadikan inspirasi.
Gaji Suami : RM3,400
Gaji Bini : RM2,800
_____________________
KOMITMEN (Suami)
1. Rumah RM365
2. Moto RM 300
KOMITMEN (Isteri):
1. PTPTN RM124
2. Pengasuh RM500
3. HIBAH RM100
4. COWAY RM275
5. Bil Api Air RM 80
KEPERLUAN WAJIB (Suami Tanggung):
1. Celcom Prepaid RM50
2. Barang Dapur RM500
3. Makan Minum RM1000
4. Susu anak 68x4 RM272
5. Diapers 29x2 RM58
6. Minyak 🛵🚗 RM200
KEPERLUAN WAJIB (Isteri Tanggung)
1. Celcom Prepaid RM50
2. Digi Prepaid RM30
3. Barang mandian RM200
KEHENDAK (Isteri Tanggung): -Maximum Sebulan)
1. Shopping Apa² RM 200
2. Jalan-Jalan RM 200
TOTAL SUAMI : RM 2,735.00
BAKI SUAMI : RM 665.00
TOTAL ISTERI : RM 1,759.00
BAKI ISTERI : RM 1,041.00
Alhamdulillah setakat ni kami sama-sama bertolak ansur.
Buat pengetahuan para isteri, selagi mana suami menyediakan tempat tinggal, makan minum, pakaian dan kesihatan kita terjaga, itu dah dikira nafkah. selebihnya yang suami beri, itu rezeki.
Saya dan suami masing2 dtg dari keluarga susah, Saya start kahwin dgn suami Gaji suami 1500 (Tahun 2020). dan saya pada mulanya hanya jual online dapatla dalam 300 sebulan. Mula dgn tak ada kereta, tak ada rumah.
Sewa bilik sahaja. Sekarang dah 4 tahun, Alhamdulillah dah ada segala keperluan walaupun tak kaya, tapi mencukupi.
Masa kahwin, cincin kahwin pun beli kat shopee harga RM59 😂 Cakap kat suami nanti lepas kawin janji tau nak gelang/cincin emas setahun seutas.
sampai sekarang tak ada 1 gram emas pun, sebab saya sendiri tak nak disebabkan bagi saya cukuplah ada suami dan anak tercinta di sisi.
Untuk pengtahuan juga, gaji saya dan suami, kami sentiasa berkongsi dgn adik beradik & mak ayah kami.
Boleh dikatakan sebulan beratus jugak bantu adik beradik. Pernah keluarga dia susah, saya keluar duit saya untuk cukupkan. keluarga saya susah, dia keluarkan duit dia untuk cukupkan.
Tapi Alhamdulillah berkat bantu ahli keluarga, tak tau kenapa sampai harini Allah sentiasa cukupkan rezeki kami. Pernah la sipi2 nak habis tapi tiba2 ada rezeki masuk.
Kami bersyukur sgt2 dgn apa yg ada skrg. Dan dgn rezeki berlipat ganda ni kami akan selalu tolong adik beradik yg masih susah.
walaupun adik beradik ckp nak pinjam, setakat ni kami tetap xpernah berkira xpernah anggap itu sebagai hutang. Sebab rezeki yg Allah bagi ni sebenarnya amanah juga untuk kami tolong ahli keluarga yg susah.
Saya ada nasihat untuk para isteri:
1. jangan tinggi suara pada suami. hormatlah suami dan sentiasa bg senyuman, mesra dgn suami.
2. jangan berkira apabila suami susah. Bantulah dgn ikhlas sbb dia teman sehidup semati kita. kalau kita tak bantu, siapa lagi? (melainkan kes kes suami xkerja, xbagi nafkah, pukul bini tu lain cerita tau)
3. jangan kuat sgt membebel. suami tak suka isteri membebel. kalau ada apa2 tak kena, bincang baik2, cakap elok2. banyak cara kita boleh bercakap dgn suami secara baik berbanding membebel tak berenti. kesian suami penat dengar bebelan hari2. mereka perlukan kasih syg dan tutur kata yg baik.
4. di rumah, bersiaplah untuk suami. tak perlu over, cukup bersih, kemas dan wangi. jangan serabai selebet, dgn tak mandi, rambut xsikat.
Suami pula: Saling la memahami isteri. Isteri pun ada penatnya jaga anak, urus rumah. isteri yg berkerja pun sama penat.
Apa yg paling penting dlm rumah tangga adalah toleransi. Bukan isteri tunggu suami mula, atau suami tunggu isteri mula. sama2 kena mula.
Siapa yang baca ni, Saya doakan rumah tangga kalian Kekal bahagia ke akhir hayat. Kita ni nak kahwin sekali je, sampai ke syurga. Jadi jaga baik2.
Sekian,
-isteri A
Apa pengajaran yang kita boleh peroleh daripada pengisian di atas? Pada hemat saya selaku hamba yang hina, inilah pengajarannya:
- Pentingnya sekufu dalam pernikahan. Sekufu bukan diukur pada harta, tetapi sekufu diukur berdasarkan sejauh mana pasangan dapat membantu mencapai matlamat hidup sama-sama sama ada dari segi peribadi, pemikiran, kebijaksanaan, harta, gaya hidup dan emosi;
- Setinggi mana pun gaji, kalau tak ada tolak ansur itu tak guna juga. Tiada tolak ansur antara tanda pasangan tidak sekufu;
- Zaman Nabi, para sahabiah juga ramai membantu suami mereka dari segi harta ketika suami dalam kesusahan. Mereka faham bahawa membantu suami pahalanya lebih tinggi daripada pahala jihad. Malah Khadijah juga begitu terhadap Rasulullah;
- Tak salah isteri bekerja. Rasulullah berniaga sejak muda, bernikah dan teruskan perniagaan sehingga umur 40 tahun untuk kewajipan nafkah, isterinya Khadijah juga bekerja berniaga sama-sama. Walau Rasulullah bersara untuk menjadi Pendakwah Sepenuh Masa kerana diangkat pangkat menjadi Rasul, Khadijah masih bekerja. Iman Nabi lain, walau tak bekerja Allah sentiasa beri rezeki untuk sara keluarga;
- Pelajarilah selok-belok perniagaan sejak muda, rezeki semakin banyak dikongsi semakin murah rezeki. Bukan pentingkan diri pergunakan agama dengan akal semata-mata tanpa ada 'common sense';
- Nafkah juga adalah sedekah. Sedekah wajib daripada suami hanyalah makan minum, tempat tinggal dan pakaian. Yang lain-lain tak salah isteri bayarkan setiap bulan jika isteri juga bekerja. Nafkah bukan pada duit sahaja. Isteri juga ada nafkahnya, antaranya hubungan intim dengan suami apabila suami mengajak;
- Taat suami adalah salah satu tanggungjawab isteri, isteri yang tidak taat pada suami atas perkara tidak batil adalah seorang isteri yang tidak bertanggungjawab. Apabila suami meminta berbincang untuk urus rumahtangga bahagikan tugas, maka taatilah;
- Jihad isteri utamanya ialah di dalam rumah. Manakala jihad suami adalah di dalam dan di luar rumah. Adalah perkara kebiasaan apabila si isteri yang selalu memasak, tak salah suami membantu masak jika lelaki juga mahir bidang masakan, tolak ansurlah juga contoh isteri masak, suami basuhkan pinggan mangkuk, dan seumpamanya.
Jika harta menjadi ukuran, ketahuilah bahawa harta tidak mengkayakan jiwa. Kepada lelaki bujang kerja gaji RM1,500.00 sebulan tapi mahu nikah, aku juga dulu mula-mula nikah gaji banyak itu juga. Disebabkan bujang aku rajin menyimpan, sehingga lebih RM10K dalam simpanan, tidak gunakan untuk hantaran, tapi untuk belanja selepas nikah. Selepas nikah ternyata gaji aku naik mendadak. Jadi, yakinlah rezeki lepas nikah, Allah akan beri nikmat dan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki.
Memang benar jika tidak mampu bernikah, berpuasalah. Ada orang tidak mampu berpuasa, dia perlu nikah juga, jadi perlulah sungguh-sungguh simpan duit, gaji sebanyak RM1,500.00 sebulan tanpa hutang dah okay janji ada simpanan banyak guna lepas nikah bukan hantaran, kalau hantaran pun isteri kena faham yang wajib adalah milik isteri iaitu maskahwin, hantaran bukan milik isteri tapi milik bersama. Guna duit hantaran untuk membeli rumah baharu, baru betul bukan boros, melalut dan 'selfish'.
Seterusnya lagi baginda s.a.w. dah janji, ada tiga golongan Allah pasti bantu, iaitu Orang berjihad di jalan Allah, Orang yang bermusafir dan Orang yang ke arah pernikahan. Selepas nikah yakinlah rezeki tidak salah alamat, Allah suka orang yang amalkan sunnah kekasih-Nya, kerana nikah adalah antara sunnah Nabi yang terbesar selepas dakwah. Bak kata Altimet, kita semua 'Berada' kerana kita ada Yang Maha Kaya di hati. Jika di hati ada dunia, bagaimana dunia mahu mengejarnya?
Sekufu ini hukumnya wajib walau bukan rukun. Sekufu mana kira warna kulit, bangsa atau asal usul negara. Sesetengah ulama sehingga menjadikan sekufu adalah salah satu daripada rukun nikah, jadi enam rukun. Bagaimana mahu menjalankan hukum agama untuk jadikan jalan hidup dengan tenang jika tidak sehaluan? Bagaimana mahu melayari bahtera ke destinasi dengan selamat jika anak pimpinannya tidak menjalankan perintah nakhodanya?
Di mana rukun aslinya ialah SISWI, iaitu Suami ialah lelaki, Isteri ialah perempuan, Saksi dua orang lelaki sempurna pendengaran dan penglihatan, Wali nikah sama ada wali mujbir atau wali hakim, dan Ijab Kabul iaitu Memberi dan Terima akad atau ikatan perjanjian perhubungan sebagai suami isteri. Jadi dengan tambahan Sekufu jadi SISWIS, maka sayugialah rumahtangga dibina lebih berkat, dipenuhi belas kasihan, cinta dan sayang.
Kita biasanya bernikah kerana empat perkara, iaitu kerana kecantikan, kerana harta, kerana keturunan dan kerana agama. Tetapi baginda s.a.w. menyuruh utamakan agama. Bermaksud baginda suruh tengok keempat-empat ini, namun utamakanlah agama. Orang yang beragama bukanlah pandai mengaji atau alim alimah, namun beragama maksudnya peribadi beradab. Dalam surah ar-Ruum, kita selalu kaitkan kebahagiaan suami isteri apabila ada tiga elemen ini, iaitu sakinah, mawaddah, dan rahmah, apakah maksud itu semua?
• Sakinah (السكينة): Ketenangan dan kedamaian dalam hubungan, suami isteri hidup harmoni.
Apabila anda nampak kelemahan pasangan, tapi anda bijak jaga mulut, tak perlu nak mengata atau mencela.
• Mawaddah (المودة): Kasih sayang dan cinta yang ikhlas antara pasangan.
Apabila anda sedar pasangan ada kekurangan, anda pilih untuk ‘buat-buat tak nampak’ dan lebih fokus pada kelebihan yang dia ada.
• Rahmah (الرحمة): Rahmat dan belas kasihan, saling memahami dan menyokong.
Apabila anda mampu jadikan kelemahan pasangan sebagai peluang untuk kumpul pahala, sokong dan dokong dia dengan ikhlas.
Dengan sakinah, mawaddah, dan rahmah, perkahwinan akan bahagia dan diberkati. Suami dan isteri kena sama-sama faham dan buat. Dalam perkahwinan, kena faham konsep Sakinah, Mawadah, Warahmah. Sama-sama bantu untuk capai rumahtangga yang tenang dan penuh cinta❤️ 👩❤️💋👨. Setiap hari buatlah mesyuarat. Tak salah isteri beri pandangan. Adakalanya suami ikut pandangan kita, adakalanya tidak, kerana akhirnya keputusan atas suami. Itulah adab.
Nak jadi suami, isteri atau anak soleh solehah ni, tips dia dua sahaja:
(1) Taqwa;
(2) Cerdik.
Nak jadi nabi pun antara sifatnya perlu cerdik. Cerdik berlandaskan iman akan hasilkan ketaqwaan yang jitu. Cerdik tanpa iman akan mulalah berfikiran ikut akal semata-mata. Pandangan mata selalu menipu, pandangan akal selalu tersalah, pandangan nafsu selalu melulu, pandangan hati itulah yang hakiki jika hati itu bersih. Taqwa itu bukan di otak fikiran tapi di ♥️👈. Sepatutnya apabila sudah bernikah, iman semakin bertambah kerana separuh ketaqwaan telah sempurna, lagi separuh perlulah berjihad dengan penuh bijaksana.
Menjadi tanggungjawab bersama untuk tutup keaiban pasangan sedaya upayanya. Seseorang yang membuka aib pasangan di khalayak ramai adalah seorang yang tidak bertanggungjawab. Membuka aib pasangan hanya pada dalaman termasuk keluarga dan pihak berkuasa sahaja, bukan di medsos. Al-Quran telah beritahu suami adalah pakaian bagi isteri dan isteri juga adalah pakaian bagi suami. Isteri adalah benteng terakhir untuk menutup segala keaiban diri. Begitulah juga suami.
Tiada perkataan dalam al-Quran mahupun al-Hadis bahawa isteri adalah cerminan suami. Nabi Nuh antara nabi ulul azmi, bermaksud antara nabi yang paling bijaksana pun tak mampu ubah isteri ke arah kebaikan. Cerminan diri sendiri bukanlah pasangan, tetapi kita dari kecil adalah cerminan ibu bapa atau bagaimana kita dibesarkan. Apabila sudah baligh atau dewasa, hati dan cara fikirlah cerminan diri sendiri.
Jika suami 'provider', isteri wajib jadi 'giver'. Dua-dua harus belajar memberi. Memberi yang baik itulah sedekah. Nabi lihat ramai wanita di neraka, lalu baginda berpesan, wahai wanita perbanyakkan sedekah. Kalau faham makna sedekah, sedekah bukan sekadar duit, tapi masakan, pakai pakaian cantik depan suami, tidak provok suami, beri idea atau cadangan, tak meminta hal membebankan, minta izin suami sebelum hal 5 perkara, lahir dan susukan anak dan minta maaf pada suami sebelum tidur setiap malam.
Jadilah seorang isteri cerdik yang bertaqwa, sehingga memahami mentaati suami perkara hak adalah wajib dan derhaka suami adalah derhaka kepada Allah dan Rasul, semestinya adalah suatu dosa besar dan dilaknat. Jika kita benar-benar taat suami pada yang hak selagi arahan suami tidak melanggar syariat selama lebih 20 tahun, suaminya pula bertaqwa, maka itu baru boleh dikatakan cerminan suami. Semoga di syurga kelak menjadi ketua bidadari kepada pasangan masing-masing, biar bidadari-bidadari mencemburuimu.
No comments:
Post a Comment