MALAYSIA

Monday, December 20, 2021

#50 SOLAT

Solat dari segi bahasa bermaksud doa atau doa dengan sesuatu kebaikan. 

Dari segi syara‘, solat bermaksud perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang dimulai dengan takbir berserta niat dan diakhiri dengan salam dengan syarat-syarat tertentu. Ada 13 (TIGA BELAS) rukun solat dalam solat-solat biasa seperti solat fardu. 5 daripadanya adalah rukun qouli (perkataan), 7 daripadanya adalah rukun fi`li (perbuatan) dan 1 daripadanya adalah rukun qolbi (hati). 


Perkataan-perkataan di dalam sembahyang dikenali sebagai rukun qouli قولي. Manakala perbuatan-perbuatan di dalam sembahyang dikenali sebagai rukun fi`li فعلي dan perlakuan selain daripada perkataan dan perbuatan dikenali sebagai rukun qolbi قلبي (contohnya niat). Hati-hati, di dalam fi`li, empat daripadanya mempunyai toma'ninah (طمأنينة), iaitu berhenti seketika dengan tenang. Jika tertinggal salah satu rukun ini, solat terbatal atau tidak sah.


Apabila sudah tahu ketiga-tiga belas rukun solat ini, barulah anda akan tahu selain daripada itu semuanya sunnat sahaja. Antaranya bacaan dalam rukuk dan sujud juga sunnat dalam mazhab Syafie. Perkara-perkara sunnat dalam solat terbahagi kepada dua sahaja iaitu Ab`adh (أبعاض) dan Hai'at (هيئات). Ingat Ab`adh sahaja, selebihnya semua Hai'at. Kerana Ab`adh cuma ada ENAM perkara sahaja:

(1) Berdiri ketika doa qunut;

(2) Membaca doa qunut;

(3) Membaca selawat ke atas Nabi ketika doa qunut dan tahiyyat awal;

(4) Duduk ketika tahiyyat awal;

(5) Membaca tahiyyat awal;

(6) Membaca selawat ke atas keluarga Nabi ketika doa qunut dan tahiyyat akhir.


Jika tertinggal salah satu daripada sunnat Ab`adh, maka disunnatkan sahaja untuk sujud sahwi sebanyak dua kali sebelum memberi salam. Jika terlupa juga untuk sujud sahwi, maka solat tidaklah batal kerana sunnat sahaja. Sujud sahwi hanya WAJIB ketika kita terlupa rakaat. Sebab itu dalam solat jangan lalai dan perlulah dilaksanakan dengan penuh khusyuk dan khuduk, iaitu dengan bersungguh-sungguh dan rendah diri di hadapan Allah.


Ada tiga solat yang istimewa tak sama seperti solat fardu yang lima. Pertama ialah solat sunnat hari raya Aidiladha dan Aidilfitri. Solat sunnat hari raya mempunyai dua rakaat, rakaat pertama ada 7 kali takbir selepas takbiratul ihram, diselangi 6 kali tasbih. Manakala rakaat kedua ada 5 kali takbir selepas takbiratul intiqal bangun dari sujud kedua, diselangi dengan 4 kali tasbih. Disunnatkan khutbah selepas solat sunnat hari raya.


Keduanya ialah solat sunnat gerhana matahari dan bulan. Solat sunnat gerhana mempunyai 2 rakaat. Setiap rakaat mempunyai dua kali rukuk dan dua kali Al-Fatihah secara bergilir-gilir. Jadi dalam dua rakaat mempunyai 4 kali rukuk dan 4 kali bacaan Al-Fatihah. Disunnatkan khutbah juga selepas solat sunnat gerhana. Disebabkan ia mempunyai khutbah, ia menunjukkan solat sunnat yang tinggi juga martabatnya selepas solat sunnat hari raya.


Yang ketiga ialah solat fardu jenazah. Solat jenazah sahaja satu-satunya solat yang tidak ada rukuk dan sujud. Ia mempunyai empat kali takbir termasuk takbiratul ihram. Takbir pertama disusuli bacaan Al-Fatihah, takbir kedua disusuli dengan berselawat ke atas nabi dan ahli keluarganya, takbir ketiga disusuli dengan berdoa terhadap jenazah, dan yang terakhir takbir keempat disusuli dengan doa terhadap semua ummat Islam (muslimin seantero dunia) sebelum memberi salam.


WAKTU SEMBAHYANG

Waktu sembahyang fardhu lima waktu iaitu Zuhur, `Asar, Maghrib, `Isya' dan Subuh telah dinyatakan dengan terperinci dari awal hingga akhir oleh Sunnah Nabi. Secara umumnya, waktu-waktu itu telah dinyatakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam melalui sabdanya yang bermaksud:

Jibril telah mengimami saya sebanyak dua kali. Beliau bersembahyang Zuhur bersamaku ketika tergelincir matahari dan `Asar ketika bayang-bayang sesuatu benda telah sama panjangnya dengan sesuatu itu, dan Maghrib ketika terbenam matahari dan `Isya' ketika terbenam syafaq (iaitu cahaya merah) dan Subuh ketika terbit fajar. Pada keesokan harinya, Jibril bersembahyang bersama saya solat Zuhur ketika bayang-bayang sesuatu berada sepanjangnya dan `Asar ketika bayang-bayang sesuatu berkedudukan dua kali panjangnya dan Maghrib ketika orang berbuka puasa dan `Isya' ketika sepertiga malam dan Subuh ketika menguning cahaya pagi. Kemudian Jibril berkata: Inilah waktu sembahyang Nabi-Nabi sebelum engkau. Waktu sembahyang adalah di antara waktu ini.” 

Secara terperincinya, waktu-waktu bagi setiap solat fardhu adalah seperti berikut:

1. Waktu Zuhur bermula dengan tergelincir matahari (zawal), iaitu matahari condong dari tengah-tengah langit ke arah barat dengan keadaan sesuatu benda mempunyai sedikit bayang ketika matahari terpacak dan matahari mula condong ke arah barat. Waktu Zuhur berakhir apabila bayang sesuatu benda menjadi sama panjang dengannya.


2. Waktu `Asar (solat al-wusta) bermula dengan berakhirnya waktu Zuhur, iaitu apabila bayang sesuatu benda yang sama panjang dengan benda itu mula bertambah dengan pertambahan yang paling minimum. Ia berakhir dengan terbenamnya matahari.


3. Waktu Maghrib, ia bermula dengan terbenam matahari dan berterusan sehingga hilang cahaya syafaq (cahaya mega merah) dengan tidak kelihatan sedikitpun kesannya.


4. Waktu `Isya' bermula dengan tamatnya waktu Maghrib, iaitu hilang syafaq ahmar (cahaya merah) dan berterusan hingga munculnya fajar sadiq, iaitu beberapa ketika sebelum naik fajar.


5. Waktu Subuh bermula dengan muncul fajar sadiq dan berterusan hinggalah naik matahari (syuruq). Fajar sadiq ialah cahaya putih yang menyerlah mengikut garis lintang ufuk.


WAKTU-WAKTU YANG DITEGAH MELAKUKAN SOLAT

Terdapat lima waktu yang telah dinyatakan oleh Sunnah sebagai waktu yang ditegah untuk melakukan sembahyang di dalamnya, iaitu:

1. Selepas sembahyang Subuh hingga terbit matahari.


2. Semasa naik matahari hingga kadar ramh, iaitu lebih kurang satu pertiga jam selepas naiknya matahari.


3. Waktu matahari tegak (rembang) sehingga matahari tergelincir (masuk waktu Zuhur).


4. Selepas sembahyang `Asar hingga terbenam matahari.


5. Waktu matahari kekuningan sehingga terbenam.


Tegahan untuk melakukan sembahyang pada waktu-waktu ini bukanlah mutlaq, tetapi khusus pada jenis sembahyang tertentu sahaja, iaitu:

1. Semua sembahyang yang tidak ada sebab untuk melakukannya pada waktu-waktu itu seperti sembahyang sunat mutlaq dan sembahyang sunat tasbih.


2. Sembahyang yang sebab melakukannya terkemudian seperti sunat ihram dan istikharah.


Semua sembahyang ini jika dilakukan pada waktu-waktu tersebut hukumnya makruh tahrim yang sangat ditegah dan sembahyang itu juga menjadi batal. Pengecualian kepada sembahyang yang telah disebut ialah beberapa sembahyang tertentu iaitu:

1. Sembahyang yang mempunyai sebab untuk melakukannya seperti sembahyang yang telah luput (qadha'), jenazah, nazar, wudhu’ dan tahiyyatul masjid.


2. Sembahyang yang mempunyai sebab yang seiringan dengan waktu itu seperti sembahyang kusuf (gerhana) dan istisqa’ (minta hujan).


3. Sembahyang Jumaat ketika matahari tegak.


4. Sembahyang di Tanah Haram Makkah kerana kelebihan sembahyang itu sendiri.


Selain daripada waktu-waktu tersebut, terdapat beberapa waktu lain yang ditegah melakukan sembahyang, antaranya sembahyang semasa khatib menaiki minbar masjid untuk membaca khutbah dan sebelum sembahyang Maghrib kecuali sunat rawatib pada kedua-duanya.


SURAH-SURAH YANG SUNNAT DIBACA DALAM SOLAT

Antara surah yang sunnat dibaca selepas Al-Fatihah dalam solat sunnat rawatib atau mungkin boleh juga dalam solat fardu.


Disclaimer: Sekadar panduan.


Sebelum Subuh:

Rakaat pertama = Asy Syarh

Rakaat kedua = Al Fiil

Dua-dua dimulai dengan  ْأَلَم.


Sebelum Zohor:

Rakaat pertama = Al Humazah 

Rakaat kedua = Al Maa`uun

Dua-dua ada perkataan وَيْلٌ.


Selepas Zohor:

Rakaat pertama = Al `Aadiyaat

Rakaat kedua = Al Qoori`ah

Dua-dua ada cerita tentang kiamat.


Sebelum Asar:

Rakaat pertama = At Takaatsur

Rakaat kedua = Al `Ashr

Dua-dua berkaitan dengan masa.


Sebelum Maghrib:

Rakaat pertama =  Al Qodr

Rakaat kedua = Al Kautsar

Dua-dua dimulai dengan إٍنَّا.


Selepas Maghrib:

Rakaat pertama = Az Zalzalah

Rakaat kedua = An Nashr

Dua-dua dimulai dengan إِذَا.


Sebelum Isyak:

Rakaat pertama = Al Lail

Rakaat kedua = At Tiin

Dua-dua dimulai dengan sumpah وَ.


Selepas Isyak:

Rakaat pertama = Al Falaq

Rakaat kedua = An Naas

Dua-dua dimulai dengan قُلْ.


Tambahan:

Solat sunnat Isyroq:

Rakaat pertama = Quraisy

Rakaat kedua = Al Ikhlaash

Dua-dua ada tauhid.


Solat sunnat Dhuha:

Rakaat pertama = Asy Syams

Rakaat kedua = Ad Dhuhaa

Dua-dua ada perkataan Dhuha.


Solat sunnat Witir:

Rakaat pertama = Al A`laa

Rakaat kedua = Al Kaafiruun

Rakaat ketiga = Tiga Qul.


Solat sunnat Tahajjud:

Rakaat pertama = Ad Dukhoon ayat 1-39

Rakaat kedua = Ad Dukhoon ayat 40-59.

Semoga diampunkan segala dosa kecil.


SOLATLAH BERJEMAAH

Dulu, masa mula-mula Rasulullah dinaikkan ke Arasy Allah, kita diwajibkan untuk solat 50 kali. Namun, sekarang hanya 5 waktu. Itupun mengapa masih ramai tidak mensyukuri nikmat Allah dengan memelihara solat dan menambahkan solat-solat yang sunnat dan nawafil? Apatah lagi, punyalah baik Allah satu solat digandakan umpama solat 10 kali.


5 waktu umpama 50 waktu juga pahalanya. Belum lagi digandakan bacaan dalam solat, kekhusyukan dalam berdoa dalam solat, saf-saf yang dirapatkan dan apatah lagi jika berjemaah digandakan setiap perkara 25 (jika solat Zohor dan Asar berjemaah) atau 27 kali ganda pahala (jika solat Subuh, Maghrib dan Isyak berjemaah). Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu mahu dustakan?












Jadi, janganlah terpedaya dengan ramai orang tak solat kaya. Sebab ramai juga orang kaya solat. Jangan pukul rata. Sebiji pisang rosak bukan bermakna setandan pisang lain rosak juga. Tapi, perlu hati-hati, antara nikmat dan istidraj. Jangan salahkan solat kita jadi miskin. Jangan salahkan solat kita kemalangan. Solatlah punca utama rezeki. Di sana, solatlah amalan pertama yang akan dihisab atau dihitung.


Rezeki bukan pada harta sahaja. Kalau tengok sirah Nabi kita Muhammad S.A.W. pun kaya. Maskahwin dengan Khadijah 20 ekor unta (RM100,000) dan dengan isteri-isteri lain seorang maskahwin 500 dirham (hampir RM5,000). Nabi kalau tak kaya tak kahwin dgn Khadijah, dua-dua usahawan berjaya. Apabila jadi Nabi, Nabi fokus kepada dakwah, sebab susah buat dua perkara dalam satu masa. Tapi, rezeki datang juga.


Kalau TERTINGGAL solat, tak kira sengaja atau tak sengaja, contohnya tertidur sebab makan ubat tidur atau ubat yang menyebabkan mengantuk untuk sihat, WAJIB QADHA'. Jika ada penyakit yang tiada harapan untuk sembuh dan sukar untuk jaga waktu solat contohnya kencing tak lawas, boleh buat jamak, tapi tak boleh qasar. Contoh jamak Zohor Asar : 4 rakaat Zohor + 4 rakaat Asar dalam waktu Zohor.


Jika solat tak boleh solat berdiri, solatlah dengan duduk. Tak boleh duduk, solatlah dengan baring (cuba baring mengiring ke kanan dulu, jika tak boleh baring mengiring, baru baring menelentang). Tak boleh baring, solatlah dengan isyarat mata. Jika kemalangan atau 'accident' pula, kalau wuduk atau mandi wajib ada luka yang dikhuatiri mudarat jika terkena air, bahagian luka tak perlu kena air pun, solat tetap sah, tak perlu qadha'.


Jadi, isu utamanya, jangan jadikan alasan sakit untuk tidak tunaikan solat. Wajib tunaikan 5 waktu solat dalam apa-apa jua sekalipun.


Kalau kejar akhirat, dunia kejar kita. Biar kita pegang dunia, jangan biar dunia pegang hati kita. Jangan tengok luaran, tengoklah dalaman juga. Nabi dah kata, orang paling kaya bukan pada harta, paling kaya ialah qana'ah (berasa cukup dengan apa yang ada). Semakin tambah harta, harta tu tak masuk hati pun, malah semakin banyak juga disedekahkan.


Semakin banyak sedekah, semakin banyak dapat balik. Sebaik-baik sedekah ialah solat. Ikut resmi padi, semakin berisi, semakin tunduk.


SOLAT BUKAN TANDA KITA BAIK, SOLAT ADALAH TANDA KITA HAMBA-NYA.


SEGERAKAN SOLAT,

Allah segerakan nikmat.

IKHLASKAN NIAT,

benteng paling kuat.

PERBANYAKKAN SELAWAT,

bantuan untuk ummat.

SELALU BERTAUBAT,

kaya akan mendapat.

MUSLIMIN MUSLIMAT,

semoga tiang selamat.

DUNIA AKHIRAT,

kejayaan yang hakikat.


Marilah Menunaikan Solat!

Marilah Menuju Kejayaan!

Semoga bermanfaat.

No comments:

SALING BERKASIH-SAYANG, BERTEMU DAN BERPISAH KERANA ALLAH! JANGAN LUPA UNTUK FOLLOW BLOGGER INI YE!

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله سيدنا وحبيبنا وشفيعنا وذخرنا ومولانا محمد أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين

BAIK DAN BURUK DATANG DARIPADA ALLAH.

BAIK DAN BURUK DATANG DARIPADA ALLAH.
Asma Al-Husna Pictures, Images and Photos

Ayat-ul-Kursî

Allâh! Lâ ilâha illa Huwa (none has the right to be worshipped but He), the Ever Living, the One Who sustains and protects all that exists. Neither slumber, nor sleep overtake Him. To Him belongs whatever is in the heavens and whatever is on earth. Who is he that can intercede with Him except with His Permission? He knows what happens to them (His creatures) in this world, and what will happen to them in the Hereafter . And they will never compass anything of His Knowledge except that which He wills. His Kursî[] extends over the heavens and the earth, and He feels no fatigue in guarding and preserving them. And He is the Most High, the Most Great.
(Q.S. 2, 255)

GIVE ME YOUR HELP!

GIVE ME YOUR HELP!
O God, I suplicate You for all kindness, good manners, forbid what are wrong and be kind to all poor people. I want Your love, love who also love You as well as Your pardon, forgiveness and mercy. If You afflict me some adversities, thus please take my soul without any of them. Aameen...