Solat Sunat Witir merupakan sunat muakkad yang amat penting dan digalakkan melakukannya.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sentiasa melakukan solat Witir dan solat sunat Fajar, baik ketika Baginda bermukim ataupun ketika bermusafir.
Ada riwayat yang mengatakan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak pernah meninggalkan Solat Witir walaupun sekali. Sabda Rasullulah Sallallahu Alaihi Wasallam dari Abu Hurairah: “Sesiapa yang tidak berwitir, maka bukanlah dia termasuk golongan kami.” (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud)
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda lagi: “Sesungguhnya Allah SWT. menganugerahkan kepada kamu solat yang lebih baik daripada bersedekah beberapa ekor unta yang sempurna dan baik iaitu Solat Witir.” (Hadis Riwayat al-Tirmidzi dan al-Hakim r.a.)
Dinamakan ‘Solat Sunat Witir’ kerana bilangan rakaatnya ganjil. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: “Wahai ahli Al-Quran, kerjakanlah Solat Witir sebab Allah itu Witir (Ganjil / Maha Esa) dan suka sekali kepada ganjil.” (Riwayatkan oleh Ahmad Ash hab al-Sunan, al-Tirmidzi dan Hakim).
Solat Witir boleh dikerjakan 1 rakaat, 3, 5, 7, 9 atau paling banyak 11 rakaat. Ia dilakukan dua-dua rakaat dan diakhiri dengan 1 rakaat, atau berakhir 3 rakaat (1 tahiyyat 1 salam).
Solat Witir dilakukan setelah solat Isyak hingga menjelang fajar (subuh). Ia dapat dikerjakan sebagai pelengkap solat Tahajjud atau solat Tarawih. Ia sebagai penutup segala solat yang dilakukan hingga menjelang Subuh.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Akhirilah solat malammu itu dengan Solat Witir.” Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim r.a.)
Sekiranya dirasa tidak akan terbangun mengerjakan solat Tahajjud lagi, maka bolehlah terus mengerjakan solat Witir sesudah mengerjakan solat Isyak.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Sesiapa yang berasa dirinya tidak mampu untuk bangun pada penghujung malam, sebaiknya mengerjakan solat witir pada awal malam, tetapi bagi sesiapa yang berasa dirinya mampu dan yakin akan dapat bangun pada penghujung malam, sebaiknya mengerjakan solat witir pada akhir malam, kerana solat pada akhir malam itu akan dihadiri oleh para malaikat dan itulah yang lebih utama.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim, al-Tirmidzi dan Ibnu Majah).
Solat sunnat Witir dapat meluaskan dan mempermudahkan rezeki dan memberikan kekayaan jiwa.
Rugilah mereka yang meninggalkan solat sunnat ini. Mereka sepatutnya meneruskan ibadah ini sehingga menjadi rutin seharian mereka. Seelok-eloknya solat sunnat ini dilakukan di masjid selepas sunnat rawatib Ba`diah `Isya'.
Sebagai mana di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.ha. yang bermaksud: “Wahai manusia! Lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamu rasa jemu. Amalan yang terbaik ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Jadi, jangan sesekali tinggalkan Witir tau, walau satu malam pun. Moh kita istiqamah!
Wabillahittaufiq walhidayah!
No comments:
Post a Comment